Friday, December 29, 2006

Keindahan ibadat haji

Oleh MOHD KAMIL YUSUFF


Hamba-Mu Datang Menyambut Panggilan-Mu Ya Allah,
Hamba-Mu Datang Menyambut Panggilan-Mu,
Hamba-Mu Datang Menyambut Panggilan-Mu, Tuhan Yang Tiada Sekutu Baginya.
Hamba-Mu Datang Menyambut Panggilan-Mu.
Sesungguhnya Segala Pujian, Nikmat dan Kerajaan Adalah Milik-Mu.
Tidak Ada Sekutu Bagi-Mu.

Hari ini, kira-kira lima juta umat Islam dari seluruh dunia berhimpun di Padang Arafah bagi melaksanakan wukuf, ritual agama yang menjadi kemuncak ibadat haji, sambil memuji-muji keagungan Allah Maha Pencipta dan memohon keampunan daripada-Nya.

Padang seluas kira-kira 42 kilometer persegi yang terletak 22 kilometer dari Mekah itu akan bergema dengan talbiah, tahmid, doa dan zikir daripada hamba-hamba-Nya yang datang dari ceruk rantau yang jauh, semata-mata mencari keredhaan-Nya dan membersihkan diri dari segala dosa.

Di sini, semua manusia adalah sama. Tidak ada pangkat, darjat, status dan sebagainya yang sebelum ini menjadi sempadan palsu memisahkan kehidupan manusia.

Semua manusia, tidak kira kaum, bangsa atau warna kulit berpakaian putih yang melambangkan kesamarataan. Bagi lelaki, hanya dua helai kain menutup tubuh.

Dan ibadat haji kali ini paling istimewa kerana hari wukuf jatuh pada hari Jumaat, penghulu segala hari yang disifatkan sebagai Haji Akbar (Haji Besar), sesuatu yang jarang-jarang berlaku.

Tidak hairanlah, ia menyebabkan peningkatan jemaah haji secara mendadak sejak seminggu lalu, khususnya dari negara-negara berdekatan Arab Saudi yang tidak mahu melepaskan peluang merebut keistimewaan ini yang hanya tiba 10 atau 11 tahun sekali itu.

Apakah keistimewaan Haji Akbar ini yang sentiasa diidam-idamkan oleh setiap jemaah haji.

Pakar Rujuk Tabung Haji, Datuk Nooh Gadut menjelaskan, selain jatuh pada hari Jumaat-hari paling mulia dalam Islam, haji pertama dan terakhir yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w. (Haji Widak) juga adalah pada hari Jumaat.

Beliau memetik sebuah hadis yang menyebut bahawa seafdal-afdal hari ialah hari wukuf di Arafah dan sekiranya hari wukuf jatuh pada hari Jumaat, maka haji ketika itu lebih afdal daripada 70 kali haji yang hari wukufnya tidak jatuh pada hari Jumaat.

Mengampunkan

‘‘Sebuah lagi hadis ada menyebut, apabila berlaku wukuf pada hari Jumaat, Allah akan mengampunkan semua orang yang berwukuf pada hari tersebut,” katanya ketika ditemui di Mekah.

Sehubungan itu, jemaah haji sewajarnya mengambil kesempatan daripada anugerah Allah itu untuk meningkatkan amal ibadat dan memohon keampunan daripada-Nya.

Doa pada hari wukuf adalah amat mustajab. Dikatakan Allah akan turun ke langit dunia (melalui rahmatnya) menghapuskan dosa-dosa orang yang sedang berwukuf.

Begitulah besarnya keistimewaan Haji Akbar dan beruntunglah mereka yang mendapat peluang istimewa ini. Hari Jumaat juga dikatakan hari berlakunya kiamat dan hari kebangkitan semula manusia.

Perhimpunan terbesar umat Islam di Padang Arafah sebenarnya menggambarkan kesatuan, perpaduan dan keutuhan Islam yang dibina di atas asas yang kukuh iaitu tauhid kepada Allah.

Ia mempunyai falsafah penyatuan akidah umat Islam sejagat. Setiap orang menjelma dalam bentuk baru menjadi insan yang berpadu sebagai ummah dan bergabung menjadi satu.

‘‘Di Arafah, semua manusia tidak ada beza, sama ada miskin atau kaya. Yang membezakan mereka ialah tahap ketakwaan kepada Allah,” kata Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Dr. Azmi Ahmad.

Menurutnya, haji adalah gambaran kematian. Semua manusia berpakaian putih (ihram) yang boleh diibaratkan kain kapan. Sebelum itu mereka mandi sunat ihram yang melambangkan mandi jenazah sebelum ke Padang Arafah (Padang Mahsyar) untuk dibicarakan dan kemudian melalui Muzdalifah (Siratulmustakim).

Dan pada perhimpunan di Padang Arafah itu, semua jemaah menyatakan ikrar yang tidak berbelah bagi kepada Allah, rasul, agama dan persaudaraan Islam sejagat.

Kepentingan wukuf di Padang Arafah yang menjadi rukun haji ini turut dijelaskan oleh hadis nabi yang bermaksud: ‘‘Haji itu adalah Arafah.”

Walaupun wukuf itu bermaksud ‘mesti berada di bumi Arafah dalam keadaan sedar walaupun sekejap’ tetapi ia mempunyai signifikan kepada perpaduan dan kekuatan umat Islam.

Ia mempunyai hikmat yang tersurat dan tersirat yang menggambarkan bahawa dengan perpaduan dan kekuatan ummah sahaja, akan menentukan kejayaan umat Islam hari ini dan masa depan.

Kekuatan yang ditunjukkan itu tentunya akan menggerunkan musuh-musuh Islam selaras dengan firman Allah yang antara lain meminta umat Islam menyiapkan diri dengan kekuatan terdiri dari bala tentera dan peralatan perang selain keupayaan ilmu dan kemahiran bagi menggerunkan musuh-musuh.

Banyak yang diperoleh daripada ibadat haji. Ia adalah kemuncak pengorbanan hamba kepada pencipta-Nya. Berbeza dengan ibadat lain seperti sembahyang dan puasa, haji memerlukan pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit dan pelbagai kesukaran yang terpaksa dihadapi dengan penuh kesabaran dan ketabahan.

‘‘Dan serulah manusia mengerjakan haji, nescaya mereka datang kepadamu (Baitullah) dengan berjalan kaki atau mengenderai unta kurus dari ceruk rantau yang jauh.” (Al-Haj: 27)

Ibadat haji mengajar erti kesabaran menghadapi ujian Allah dan menanam sifat bergantung kepada-Nya. Ia juga memberi peluang umat Islam beribadat di Masjidilharam yang pahalanya menyamai 100,000 sembahyang di tempat lain.

Jemaah haji juga berpeluang melawat makam Nabi Muhammad s.a.w. di Masjid Nabawi, di Madinah, selain tempat-tempat yang pernah melakar sejarah Islam seperti Bukit Uhud, Gua Hira’ dan perkuburan syuhada serta kesan-kesan keagungan Islam.

Selain mendapat pengalaman baru, semua ini tentunya akan menambahkan lagi ketakwaan dan keimanan seseorang.

Sebagai tetamu Allah, banyak ganjaran menanti jemaah haji dengan balasan pahala dan dimakbulkan doa mereka yang benar-benar ikhlas.

Kepentingan ibadat haji kepada umat Islam dijelaskan oleh Allah melalui firmannya dalam surah Al-Haj, ayat 28 bermaksud: ‘‘...supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatang faedah kepada mereka.”

Jelas, nilai sebenar ibadat haji bukan sekadar RM10,000 kos untuk menunaikannya, namun lebih dari itu ia adalah harga bagi sifat keimanan dan ketakwaan yang menjadi hikmah dan rahsia di sisi Allah.